Soalan Lazim

Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) ialah satu set teknologi yang bertujuan mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) daripada sumber industri utama dan atmosfera. CO2 diperangkap daripada sumber besar seperti penjanaan kuasa dan kemudahan industri. CO2 yang diperangkap kemudian boleh digunakan di tapak atau dimampatkan dan diangkut melalui saluran paip, kapal, kereta api atau trak untuk digunakan dalam pelbagai aplikasi atau disuntik ke dalam formasi geologi yang dalam seperti telaga minyak dan gas yang tidak digunakan lagi atau saline aquifer.

Rujukan: Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA)
Rang Undang-Undang CCUS bertujuan untuk mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi di Malaysia dan memenuhi matlamat perubahan iklim negara ini. Rang Undang-Undang CCUS terdiri daripada beberapa teras termasuk: peruntukan untuk meliputi keseluruhan rantaian nilai CCUS yang terdiri daripada pemerangkapan, pengangkutan, penggunaan dan penyimpanan CO2; sebuah badan pengawalseliaan yang berfungsi sebagai pusat sehentian untuk mengawal selia pelaksanaan CCUS; pelantikan entiti yang berkemahiran teknikal bagi penyimpanan CO2 di luar pesisir dan darat; rejim pelesenan dan permit; serta pengurusan risiko dan liabiliti.

Rujukan: Rang Undang-Undang CCUS
Kementerian Ekonomi bertanggungjawab dalam pelaksanaan CCUS di Malaysia melalui penggubalan Rang Undang-Undang CCUS. Dalam Rang Undang-Undang CCUS, terdapat peruntukan untuk menubuhkan badan pengawalseliaan yang akan berfungsi sebagai pusat sehentian bagi mengawal selia keseluruhan rantaian nilai CCUS. Di samping itu, entiti yang berkemahiran teknikal akan dilantik untuk penilaian teknikal bagi penyimpanan CO2 di luar pesisir dan darat.

Rujukan: Rang Undang-Undang CCUS
Mengikut Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, sasaran penubuhan 3 hab CCUS dengan jumlah kapasiti penyimpanan sebanyak 15 Mtpa menjelang 2030 telah ditetapkan. Hab CCUS terdiri daripada dua di Semenanjung Malaysia, yang terletak di Kerteh dan Kuantan, serta satu di Sarawak, yang terletak di Bintulu.

Rujukan: Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)
Karbon Dioksida (CO2) ialah gas yang wujud secara semula jadi dan juga merupakan produk sampingan daripada pembakaran bahan api fosil (contohnya minyak, gas, dan arang batu), perubahan guna tanah (LUC) dan proses-proses daripada industri. Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengklasifikasikan CO2 sebagai gas rumah kaca (GHG).

Rujukan: Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC)
Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan pada Ogos 2023 merupakan polisi Malaysia dalam mengemudi peralihan tenaga. NETR telah menekankan peranan CCUS dalam mengurangkan pelepasan industri daripada sektor hard to abate. Dalam mempertimbangkan penerimagunaan CCUS, Malaysia juga sedang menggubal Rang Undang-Undang CCUS yang merangkumi beberapa peruntukan untuk menyokong usaha tersebut.

Seiring dengan penggubalan Rang Undang-Undang CCUS, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar juga sedang merangka Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang bertujuan untuk mengawal selia pelepasan dan penyingkiran GHG di Malaysia termasuklah CO2.

Rujukan:
  • Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)
  • Rang Undang-Undang CCUS
  • Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN)
Sasaran dalam Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) Malaysia adalah untuk mengurangkan intensiti pelepasan negara (berbanding KDNK) sebanyak 45% pada tahun 2030 berbanding paras tahun 2005. CCUS dapat memacu pertumbuhan industri baharu seperti hidrogen biru dan ammonia di samping berfungsi sebagai teknologi untuk mengurangkan pengeluaran CO2 daripada industri hard to abate. Dalam mencapai pelepasan sifar bersih GHG, penerimagunaan CCUS akan membantu Malaysia mengurangkan pelepasan GHG sebanyak 5% pada tahun 2050.

Rujukan: Malaysia Fourth Biennial Update Report Under The United Nations Framework Convention on Climate Change (BUR4)
Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara telah menekankan peranan CCUS dalam mengurangkan pelepasan CO2 daripada industri hard to abate. Malaysia juga bertuah kerana mempunyai kapasiti penyimpanan CO2 yang tinggi di mana sebahagian besar kapasiti penyimpanan terdiri daripada telaga minyak dan gas yang tidak digunakan lagi. Telaga minyak dan gas yang tidak digunakan lagi ini memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk penerimagunaan CCUS kerana kos penyimpanan CO2 adalah lebih rendah berbanding saline aquifer. Dianggarkan Malaysia mempunyai kapasiti penyimpanan sebanyak 13.3 gigatan CO2 daripada telaga minyak dan gas utama. Selain itu, Malaysia juga berada pada kedudukan geografi yang sesuai untuk penyimpanan rentas sempadan.

Rujukan:
  • Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara
  • Pelan Hala Tuju Peralihan
  • Rystad Energy
  • Global CCS Institute
Penerimagunaan CCUS dianggarkan dapat meningkatkan Nilai Tambah Kasar (GVA) sebanyak USD200-250 bilion secara kumulatif. Di samping itu, dianggarkan bahawa CCUS akan mewujudkan 150,000-250,000 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung secara kumulatif pada operasi puncak menjelang 2050.
CO2 digunakan secara meluas dalam proses industri sebagai perantara kimia dan juga digunakan dalam kehidupan seharian kita. Contoh-contoh produk berasaskan CO2 adalah pemadam api, minuman bergas dan ais kering. Selain itu, pengaplikasian penggunaan baharu dalam teknologi CCUS pada masa hadapan seperti agregat pembinaan berasaskan CO2, konkrit yang dirawat dengan CO2 dan e-bahan api semakin mendapat perhatian dalam industri berkaitan. Inisiatif CCUS akan memainkan peranan penting dalam membina kes perniagaan untuk industri-industri ini di samping memenuhi sasaran penyahkarbonan Malaysia.

Rujukan: ‘Carbon capture and utilization as a decarbonisation lever’, White Paper, Boston Consulting Group (BCG)